KENYATAAN AKHBAR PROGRAM SUKAN WANITA MALAYSIA
(NISA’ GAMES 2007)
Bertarikh 14 Muharram 1428H bersamaan 2 FEBRUARI 2007
Penganjur Bersama:
KERAJAAN NEGERI KELANTAN
MAJLIS PERBANDARAN KOTA BHARU-BRI
&
NISA’ MALAYSIA
Pelaksanaan:
29 – 30 Muharram 1428H bersamaan 17 – 18 Februari 2007
Kota Bharu, Kelantan Darul Naim
NISA’ GAMES UNTUK SEMUA - NISA’ GAMES FOR ALL
Program Sukan Wanita Malaysia (NISA’ GAMES) yang julung-julung kali diadakan akan
berlangsung di Kota Bharu Bandar Raya Islam, Kelantan pada 29-30 Muharram 1428H
bersamaan 17 - 18 Februari 2007. Program ini merupakan anjuran bersama Kerajaan Negeri Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam dan Nisa’ Malaysia.
Kerajaan Negeri Kelantan Menghargai Potensi Beliawanis
Bagi menyahut seruan kerajaan, pihak penganjur berusaha membantu dengan cara terbaik membimbing generasi muda menjalani gaya hidup sihat dan bermanfaat. Sukan Wanita Malaysia (Nisa’ Games 2007) ini akan membantu kerajaan menjayakan Kempen Belia Benci Dadah memandangkan wanita dan generasi muda merupakan satu aset besar kepada negara. Dalam masa yang sama program ini juga bertepatan dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2007 bagi peringkat Negeri Kelantan.
NISA’
Nisa’ merupakan sebuah kelab yang menjaga kebajikan generasi muda dari sudut kerjaya, pembangunan insan dan khidmat kaunseling serta memberi kefahaman Islam dengan pendekatan yang kontemporari, ceria dan unik sesuai dengan minat generasi muda. Justeru, NISA’ berusaha untuk merancang dan melaksanakan program terbaik untuk generasi muda dengan mendedahkan gaya hidup sihat dan bermoral samada dalam program berbentuk sukan, hiburan dan lain-lain lagi.
Kesejahteraan buat semua
Sukan Wanita Malaysia (NISA’ Games 2007), bertujuan untuk menghimpunkan wanita muda di seluruh Malaysia, membuka penyertaan kepada semua rakyat Malaysia berbilang kaum. Penganjur akan menterjemahkan secara luas kepada masyarakat, bahawa gaya hidup sihat dan bersukan juga merupakan tuntutan Islam. Pelbagai aspek baru yang akan diperkenalkan antaranya perlaksanaan aktiviti bersukan yang selesa, sopan dan sesuai untuk wanita.
Keunikan Nisa’ Games 2007
Nisa’ Games 2007 telah bermula di peringkat negeri pada bulan Julai 2006 dan kemuncaknya (pusingan akhir) akan diadakan pada 29-30 Muharram 1428H bersamaan 17-18 Februari 2007. Permainan yang dipertandingkan adalah boling, badminton, futsal, bola jaring dan bola tampar yang akan berlangsung di empat tempat perlawanan iaitu boling di Pacific Bowl KB Mall, Badminton di Dewan Jubli Perak Kota Bharu, Bola Jaring dan Bola Tampar di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu dan Futsal di Pintu Geng, Kota Bharu. Sebagai tuan rumah, Kelantan akan menghantar 14 kontinjen daripada setiap kawasan Parlimen. Dengan penyertaan 13 kontinjen daripada setiap Negeri, jumlah penyertaan Nisa’ Games 2007 pada kali ini adalah sebanyak 27 kontinjen kesemuanya, di mana jumlah peserta melebihi 1200 orang.
Keunikan Nisa’ Games 2007 ialah program ini dianjurkan oleh wanita untuk wanita. Para peserta datang daripada pelbagai latarbelakang dan tidak semestinya ahli sukan yang profesional. Konsep yang hendak digarapkan ialah semua yang terlibat dalam Nisa’ Games 2007 ini merasa mereka dihargai dan diraikan (everbody feel wanted) tanpa mengira matlamat kalah atau menang (it is not about winning). Apa yang lebih penting semua peserta yang hadir daripada seluruh negara dapat memperkukuhkan hubungan persahabatan, mempamirkan akhlak yang terbaik, bergaul dan memahami budaya masing-masing serta bersukan dalam suasana yang ceria dan harmonis.
Majlis Pembukaan
Majlis Pembukaan Sukan Wanita Malaysia (NISA’ GAMES 2007) akan dilancarkan secara gilang-gemilang bermula pada hari Sabtu, 29 Muharram 1428H bersamaan 17 Februari 2007, jam 8.00 malam. Ianya akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Nisa’ Games 2007 juga membawa tetamu khas, pemenang pingat Emas 200m, Sukan Asia 2006, Doha, Cik Ruqaya Al-Ghasara bagi melengkapkan lagi Majlis Perasmian seterusnya menjadikan beliau idola sukan terbaik bagi wanita.
Selain itu, Majlis Perasmian akan diiringi dengan lagu tema NISA’ GAMES dan persembahan artis terkenal seperti Yasin, Nazrey x-Raihan, In-Team, Akbar dan Mu’adz. Justeru, semua rakyat Kelantan dan rakyat Malaysia amnya dijemput beramai-ramai bagi menghadiri Majlis Perasmian dan Penutup Sukan Wanita Malaysia (NISA’ GAMES 2007) ini.
|